Iklan


With My Ride

Sunday, October 10, 2010

“ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”

Salam,

Kisah yang diceritakan sendiri oleh sahabat seuniversiti dahulu. Moga dapat mengambil manfaat daripadanya.

“ALHAMDULILLAH… dia dah meninggal”, begitu ungkapan ahli paramedik yang datang dengan ambulan ke hotel tempat aku menginap di Madinah Al Munawwarah sebaik memeriksa denyut nadi isteri Haji Seman di bilik mereka. Aku pergi kepada Haji Seman dan berbisik di telinganya mengkhabarkan pemergian isteri beliau kerana aku kira dia tidak faham ungkapan itu yang disebut dalam Bahasa Arab.
Sebak Haji Seman tak dapat ditahan, langsung bercucuran airmatanya ke bahuku. Hening pagi Jumaat itu begitu mendamaikan walaupun rancangan asal aku nak berqiyamullail di Masjid Nabawi bersama Haji Seman pada jam tiga pagi tergendala lantaran kematian isterinya. Sempat aku memandang wajah isteri beliau di pembaringan yang seakan tersenyum tenang sewaktu jenazahnya diangkat ke ambulan untuk disahkan kematiannya di hospital.
Tiga hari sebelum itu sewaktu di Lapangan Terbang Sultan Abdulaziz Shah Subang aku sembat berbual dengan isteri Haji Seman yang juga rakan kepada ibuku. Memang lembut tuturkatanya meminta aku tolong tengok-tengokkan dia dan suaminya sebab dia tidak begitu sihat. Aku diberitahu yang dia ada darah tinggi dan kencing manis. Hanya setibanya kami di Karachi, Pakistan sewaktu transit dalam perjalanan pergi baru aku diberitahu oleh Haji Seman perihal isterinya yang baru menjalani pembedahan mata buat kali ke-8.
Kami transit dua hari satu malam di Karachi. Pada pagi hari kedua Haji Seman meminta aku tolong carikan klinik untuk memeriksa keadaan isterinya yang muntah setiap beberapa jam selepas makan semenjak dari Subang. Aku beritahu Doktor yang memeriksa makcik ini ada darah tinggi dan kencing manis. Hasil pemeriksaannya mengatakan keadaan makcik stabil termasuk tekanan darahnya. Rumusan Doktor mengesyorkan kami mendapatkan ubat mabuk penerbangan dari farmasi kerana keadaan makcik tidak serius.
Sesampai di Jeddah, kesemua 99 jemaah Umrah bersamaku dijamu dengan makanan yang telah siap dibungkus oleh pihak katering muassasah. Makcik yang semakin lesu dalam perjalanan masih cuba menyuap nasi yang disediakan, namun selepas beberapa jam dalam perjalanan kami menuju ke Madinah, dia muntah lagi. Mujur suaminya Haji Seman sentiasa disisi melayani makcik dengan penuh kasih sayang meskipun mereka sudah berpuluh tahun hidup bersama.
Kami sampai di Madinah yang bercahaya pada awal pagi Khamis. Selesai semua jemaah aku aturkan bilik masing-masing, Haji Seman mengajak aku cari klinik untuk memeriksa isterinya sekali lagi. Mahu sahaja aku setujui permintaan Haji Seman sewaktu kami pulang dari solat subuh di Masjid Nabawi tetapi oleh kerana kami semua kepenatan akibat perjalanan yang meletihkan, aku mencadangkan agar makcik dibiarkan istirehat dahulu sambil memakan ubat mabuk yang dibeli sewaktu di Karachi.
Selepas asar aku menuju ke klinik berhampiran bersama Haji Seman tetapi Doktor yang bertugas tidak ada. Pembantu klinik mencadangkan kami terus ke hospital sekiranya keadaan serius. Haji Seman mengalah untuk tidak ke hospital kerana keadaan isterinya tidak nampak terlalu serius. Aku teringat sebuah hadith yang diceritakan oleh Mutawwif kami tentang khasiat Kurma Nabi, lalu aku cadangkan Haji Seman membeli sedikit Kurma Ajwa untuk diberikan kepada makcik.
Sewaktu makan malam di hotel sesudah solat Isya, aku bertanyakan khabar makcik dengan Haji Seman. Alhamdulillah dia sudah makan tiga biji dari keseluruhan tujuh biji yang aku cadangkan untuk dimakan berdasarkan Hadith Rasulullah s.a.w berkenaan khasiat Kurma Nabi untuk menawar penyakit dalam perut. Haji Seman turut bercerita berkenaan keputusannya membawa isterinya untuk Umrah kali ini kerana nazarnya sewaktu Umrah sebelum ini yang berhasrat mahu membawa makcik seandainya pembedahan mata kali ke-8 berhasil memulihkan pandangannya yang semakin hilang.
“Anak-anak ada yang kurang setuju saya bawa mak dia kali ini sebab baru sebulan matanya dibedah. Tapi Alhamdulillah saya nekadkan juga sebab memang kali ini pandangan matanya bertambah baik”, ujar Haji Seman. “Lagipun kali ini memang saya bernazar, jadi saya fikir inilah kesempatan terbaik untuk saya Umrah berdua dengan makcik”, tambah Haji Seman yang sudah mencecah usia 60an pada masa itu sambil tersenyum.
Dari hospital aku dan Haji Seman dibawa ke balai polis berdekatan untuk membuat laporan kematian sambil menyerahkan passport makcik. Kami akhirnya solat subuh pagi Jumaat itu dibalai polis berkenaan. Sambil menunggu laporan disiapkan Haji Seman menyatakan kebimbangan bagaimana urusan penyelenggaraan jenazah makcik harus diaturkan sebab kami orang Batu Pahat yang sedang bermusafir di bumi Madinah yang bertuah.
Aku bertanya kepada Sarjan yang bertugas dan jawapannya begitu mudah. “Tak mengapa, jangan risau… segala urusan jenazah ini akan ditanggung oleh Kerajaan Arab Saudi”. Lalu aku bertanya lagi, “apa yang kami sebagai ahli keluarga makcik ini perlu lakukan?”. Sambil tersenyum Sarjan berbangsa Arab itu menjawab, “duduk dulu, nanti saya buatkan teh. Lepas ini kami hantarkan ke tempat urusan jenazah, OK ?”.
Kereta peronda polis yang membawa kami ke tempat urus jenazah meluncur sesudah selesai urusan di balai. Sesampai di situ, aku bertanya kepada lelaki pertengahan umur yang menguruskan tempat itu berkenaan sebarang bayaran urusan yang perlu. “Tidak… tidak… tidak ada sebarang bayaran. Semuanya ditanggung pihak kerajaan” ujarnya menolak sebarang pemberian wang kerana Haji Seman dilihatnya sedang mengeluarkan beberapa ratus riyal dari dompet.
“Sebelum zuhur hari ini jenazah akan dibawa ke Masjid. Duduklah berehat sahaja di sini sebab hari ini Jumaat. Pergi sahaja ke Masjid dengan jenazah kerana pastinya Masjid Nabawi akan penuh”, begitu cadangan Tuan Pengurus Pusat Pengurusan Jenazah Madinah Al Munawwarah kepada kami. Jam di dinding baru menunjukkan lewat 9:30pagi. Kami memutuskan untuk terus sahaja berada di situ mengikut cadangan Tuan Pengurus.
Haji Seman duduk di sebelahku. Beberapa minit kemudian, Tuan Pengurus keluar dari pejabatnya sambil membawakan dua gelas teh susu panas untuk kami berdua selain dua botol air mineral sejuk. Setelah Tuan Pengurus beredar aku bertanya kepada Haji Seman bagaimana keadaan makcik sebelum meninggal. Haji Seman tenang bercerita yang dia sendiri tidak nampak sebarang kelainan pada diri makcik malam itu selain kelesuan mabuk kapalterbang dan muntah segala makanan yang dimakannya.

“Malam tadi balik dari Isya’, saya bagi kurma Ajwa kepada makcik”, tutur Haji Seman memulakan cerita. “Saya tengok dia nampak lemah, jadi saya suapkan. Sempat habis tiga biji, saya berikan air zam-zam yang saya ambil di Masjid tadi. Alhamdulillah lepas itu dia baring semula sambung berehat. Tengah malamnya saya terjaga sebab nak tengok kalau-kalau makcik muntah lagi. Nampaknya dia rehat saja. Saya ke bilik air, bila saya selesai makcik dah terjaga. Dia tanya saya, abang sejuk ke? Kalau sejuk matikan air-cond bukakan tingkap. Saya matikan air-cond dan bukakan tingkap sebab saya kira mungkin dia yang tak tahan air-cond”, sambung Haji Seman.

“Awak nak minum air?” Haji Seman bertanya kepada makcik. “Boleh juga”, jawab makcik ringkas. “Saya ambilkan jus oren dan bagi dia lepas saya bukakan penutupnya. Dia minum separuh saja”, cerita Haji Seman kepada aku bersambung lagi. “Lepas minum, makcik panggil saya duduk di birai katil sebab dia nak baring di pangkuan saya. Kami berbual kosong perihal anak-anak dan lain-lain pengalaman berumahtangga sejak mula berkahwin sambil diiringi ketawa kecil. Berborak suami isterilah kan…” terserlah senyum Haji Seman sambil bercerita.

“Dia tak muntah lagi lepas tu?” tanyaku menyelangi cerita Haji Seman. “Alhamdulillah memang tak muntah lepas makan kurma Ajwa sama air Zam-zam” jawab Haji Seman melayan soalan aku. “Kami terus berbual hingga jam 2:30pagi. Lepas tu saya bagitau makcik yang saya bercadang nak qiyamullail sambil nak mendoakan agar dia terus sembuh sebelum saya ke bilik air semula. Saya letakkan semula kepala makcik atas bantal. Saya tengok dia macam biasa je… sempat dia senyum sebelum saya masuk bilik air”. Suara Haji Seman seakan tersekat di kerongkong apabila ceritanya sampai di sini.

“Bila saya keluar dari bilik air, saya tengok makcik tidur… saya biarkan saja sambil bersiap nak ke Masjid macam yang kita janji lah kan…” Haji Seman mengungkit janjinya untuk qiyamullail di Masjid Nabawi bersama aku. “Hampir jam tiga pagi saya tengok makcik macam tidur tapi saya tak nampak macam dia bernafas. Saya panggil dia tapi dia diam tak jawab. Saya gerakkan dia pun tak ada jawapan…” Haji Seman berhenti sekali lagi dari bercerita.

Aku terdiam sejenak sambil berdetik di hati kecilku betapa romantiknya pasangan tua ini sehingga hujung nyawa si isteri. Beruntungnya Haji Seman beristerikan makcik ini. Tegar makcik berbual di pangkuan suami sambil bercerita dengan ceria demi mengembirakan lelaki pujaan hatinya meskipun ajalnya bakal berselang selepas beberapa ketika. “Ini benar-benar kisah Cinta bersulam CINTA Sang Pencipta” ujar hatiku berbisik sendiri.

“Macamana nak usung jenazah ke liang lahad nanti? Siapa yang gali liang? Siapa yang akan tolong kita nanti?” bertalu soalan Haji Seman kepada aku. Meskipun aku tak punya jawapan yang pasti, dengan yakin aku menjawab, “Takpe Haji… InsyaALLAH semuanya akan tersedia. Aku jadi begitu yakin kerana segala urusan setakat ini begitu lancar tanpa sebarang masalah malah terasa seakan kami dimuliakan sepanjang urusan dengan layanan yang ramah dan mesra. Memang terasa nak sangat bertanya kepada Haji Seman apa agaknya amalan makcik semasa hidupnya sehingga matinya begitu?

Jam 11:30pagi kereta buggy yang membawa jenazah sampai di pusat itu. Selesai jenazah diangkat ke atas kereta, kami berdua diajak ikut bersama menuju ke Masjid. Kami masuk melalui pintu Imam dan langsung di suruh duduk di dalam saf kedua meskipun pada masa itu Masjid sudah mula penuh. Bersungguh anggota polis menyuruh jemaah sedia ada memberikan ruang duduk untuk aku dan Haji Seman. Kami solat Jumaat berselang sebaris di belakang Imam Masjid Nabawi.

Selesai solat, bilal menyeru jemaah untuk solat jenazah. Sekali lagi kami terasa diberikan keistimewaan apabila Imam menoleh ke belakang dan bertanya, “wein sahibul janaiz?” (maksudnya - mana keluarga jenazah?). Kali ini Imam menunggu sehingga kami berdua berdiri betul-betul di belakangnya untuk menyembahyangkan jenazah makcik bersama puluhan ribu jemaah yang hadir solat Jumaat di Masjid Nabawi. Rasanya bagi sesiapa yang pernah ke sana, pasti nilai situasi ini sukar digambarkan perasaannya.

Selesai solat jenazah diangkat beramai-ramai menuju ke tanah perkuburan. Persoalan yang Haji Seman bimbangkan tentang siapa yang akan tolong usung jenazah terjawab sehingga aku dan dia sendiri terpaksa berlari sedikit mengiringi jenazah yang dipikul tangan-tangan para jemaah saudara seislam dari seluruh dunia dengan begitu pantas sekali.

Keistimewaan urusan jenazah makcik tidak habis di situ. Aku dan Haji Seman terus mengiringi jenazah sehingga ke liang yang tersedia untuknya di dalam Perkuburan Baqi’. Ya benar… liang lahad makcik tersedia di kawasan perkuburan yang juga dikenali sebagai Jannatul Baqi’ yang bermaksud Syurga Baqi’ di kalangan ahli Madinah kerana di tanah perkuburan ini juga bersemadinya ramai sahabat-sahabat dan ahli keluarga seorang lelaki paling mulia pernah hidup di dunia bernama MUHAMMAD BIN ABDULLAH, pesuruh ALLAH yang disebut namanya di dalam kalimah syahadah.

Penggali kubur menghentikan jenazah dari terus diturunkan sambil berteriak, “wein sahibul janazah?”. Sekali lagi Haji Seman ditunggu untuk turun ke dalam liang menyambut jenazah isteri tercinta sebagai penghormatan buatnya bersama si isteri di dunia ini. Aku hanya memerhati di tepi liang lahad kali ini sambil hatiku terus meruntun mahu bertanya kepada Haji Seman apa sebenarnya amalan makcik semasa dia hidup bersamanya sehingga sampai begini mulia layanan ke atas jenazahnya.

Selesai sudah urusan jenazah makcik di bumi Madinah yang penuh barakah. Haji Seman meneruskan umrahnya dan melaksanakan umrah gantian untuk niat arwah isterinya. Aku diminta menemankan Haji Seman kerana dia rasa selesa kalau aku terus bersamanya. Di Makkah akhirnya aku tak mampu tahan keinginanku untuk mengetahui amalan atau sikap kehidupan arwah makcik bersama Haji Seman lalu aku mengajukan soalan.

“Haji, mintak maaf saya nak tanya ya… Arwah makcik dulu masa hidupnya selalu buat apa?” cetusku bertanya kepada Haji Seman pada suatu malam sewaktu kami pulang ke bilik hotel setelah selesai solat Isya di Masjidil Haram. “Hmmmm… entahlah. Tak ada yang terlalu istimewa kalau saya nak cerita. Arwah makcik tu orang biasa je”, agak kecewa aku dengar jawapannya tapi aku yakin mesti ada jawapan lain. “Cuma satu perkara yang saya rasa paling saya tak boleh lupa pasal arwah”, tambah Haji Seman. “Apa benda tu Haji?”, berbunga hati aku rasa nak tahu juga apa ceritanya.

“Masa saya mula-mula kahwin dengan arwah, hidup kami susah… Tapi Alhamdulillah saya dapat juga buka kedai runcit kecil, jual suratkhabar dengan barang-barang kecil di sebelah pejabat imigresen. Bila rezeki makin murah saya memang jadikan amalan bagi duit pada arwah selain duit belanja rumah. Bukan apa… saya ni tak berapa pandai kalau nak belikan hadiah yang cantik ikut mata orang perempuan, jadi saya bagi duit aje lah”, aku tekun mendengar cerita Haji Seman sambil terfikir di mana agaknya bahagian amalan arwah yang istimewa.

“Arwah ni jenis yang pantang kalau orang mintak tolong… mesti dia cuba juga nak tolong walaupun masa kami sendiri tengah susah”, aku mula terasa mungkin inilah bahagian cerita yang aku nak tahu sangat. “Setiap kali bila arwah nak bagi duit pada orang yang dia nak tolong, mesti dia tanya saya dulu… boleh ke bang? Mula-mula saya jawab ikut dialah sebab duit yang saya bagi tu dah jadi milik dia. Lama-lama sampai dah tua-tua pun dia tetap tanya atau bagitau saya setiap kali dia bagi duit tu pada orang lain, saya jadi lali dan jawab ya sepatah je”. Haji Seman membetulkan duduk silanya di atas katil hotel sedang aku terkulat mendengar kisahnya.

“Pernah satu ketika saya cakap, duit ini saya dah bagi kat awak. Kalau awak nak pakai untuk apa saja pun saya takkan tanya sebab saya percaya awak pun boleh fikir sendiri. Lepas-lepas ni kalau awak nak bagi sesiapa pun duit awak tu, awak bagi je lah… tak payah tanya saya pon takpe”, sambung Haji Seman lagi.

“Saya cakap macam tu sebab dah berpuluh tahun kahwin pun dia masih tanya juga. Saya ingat masa tu arwah makcik jawab, saya tanya sebab duit ni awak yang bagi saya. Jadi duit ini saya anggap amanah suami dari awak untuk saya”. Terkesima aku mendengarnya. Haji Seman menyambung, “lepas pada tu, dia masih terus tanya saya macam biasa cuma saya dah malas nak halang dia dari terus bertanya perkara yang sama sebab pada dia yang penting saya redhakan dia guna duit tu”.

Aku rasa puas mendengar cerita Haji Seman seakan persoalan yang berlegar dalam kotak fikiran aku terjawab secukupnya. Tidak hairanlah jika ALLAH menjemput arwah makcik sedemikian rupa. Dengan makanan terakhir di dunia adalah air zam-zam dan kurma Nabi yang disuapkan suami, dengan perginya setenang orang yang tidur sesudah berbual dengan suami di pangkuan, dengan segala urusan pengkebumian ditanggung sepenuhnya dan dipermudahkan, dengan disolatkan selepas solat Jumaat di Masjid Nabawi yang mulia dan dengan tempat semadi terpilih bersama para sahabat Rasulullah s.a.w di Jannatul Baqi’. SUBHANALLAH.

Aku belajar sesuatu yang sangat berharga dari pengalaman ini. Pada masa itu tahun 1999, aku bersama 99 orang jemaah berkongsi niat untuk beribadah menunaikan Umrah. Kematian arwah makcik isteri Haji Seman mengajar aku erti sebuah percintaan dalam hidup yang diulit serba kesederhanaan tetapi penuh dengan pengajaran tentang hubungan kemanusiaan yang didasarkan atas keinginan merebut Rahmat Tuhan. Justeru bagi aku yang bersama Haji Seman sepanjang menguruskan jenazah isterinya, aku merasakan kami diselubungi keistimewaan menerusi sebuah kematian sedang jemaah lain masing-masing terus berharap mendapat bahagian yang diinginkan.

Bila difikirkan semula, memang aku takjub dengan cara Tuhan memberikan kemuliaan dan pengajaran. Mungkin jauh di sudut hati aku terselit sedikit kecemburuan atas Rahmat dan kasih sayang yang dilimpahkan. Bukan atas kedengkian, tapi atas rasa teruja sehingga aku terasa ingin menggantikan diriku di tempat arwah isteri Haji Seman lantaran segala apa yang aku saksikan.

Hanya semudah menjaga amanah suami dengan begitu bersungguh meskipun hidup tidak dilingkari emas permata, aku sendiri menyaksi dan merasai keistimewaan menguruskan jenazah makcik ini sedemikian rupa. Sesungguhnya benar sebagaimana ucapan Hadith Rasulullah, “Apabila seseorang isteri meninggal dunia dan suaminya redha kepadanya, maka ia akan masuk syurga.” – Riwayat Tirmizi & Ibnu Majah.

By: Towil

Thursday, October 7, 2010

Sayang... izinkan Abang...

"Sayang, Abang minta izin untuk nikah sorang lagi," Aliyah yang sedang melipat kain, terdiam seketika. Mungkin terkedu. Adakah pendengarannya kian kabur lantaran usianya yang kian beranjak. Adakah dialog tadi hanya dilafazkan di dalam TV, sementelah TV juga dipasang. Tapi, ahh bukanlah.TV sedang menayangkan iklan Sunsilk, mustahil sudah ada siri baru iklan Sunsilk?

Dia menghela nafas panjang.
Dia memandang sekali imbas wajah Asraf Mukmin, kemudian tersenyum. Meletakkan kain yang telah siap dilipat di tepi, bangun lantas menuju ke dapur. Langkahnya diatur tenang. Segelas air sejuk diteguk perlahan. Kemudian dia ke bilik Balqis, Sumayyah, Fatimah. Rutin hariannya, mencium puteri-puterinya sebelum dia masuk tidur. Dahulu, semasa puterinya kecil lagi, rutin itu dilakukan dengan suaminya. Kini, anak-anak kian beranjak remaja. Kemudian, dia menjenguk bilik putera bujangnya yang berdua, si kembar, Solehin dan Farihin. Pengabisannya dia kembali kepada suaminya.

Asraf Mukmin hanya diam, membatu diri. Dia amat mengenali isterinya. Jodoh yang diatur keluarga hampir 16 tahun yang lepas menghadiahkan dia sebuah keluarga yang bahagia, Aliyah adalah ikon isteri solehah. Namun, kehadiran Qistina, gadis genit yang menjawat jawatan pembantu tadbir kesetiausahaan di jabatannya benar-benar membuatkan dia lemah.

"Kau mampu Asraf, dengan gaji kau, aku rasa kau mampu untuk beri makan 2 keluarga," sokongan Hanif, teman sepejabat menguatkan lagi hujah apabila dia berdepan dengan Aliyah.

" Abang Asraf, Qis tak kisah. Qis sanggup bermadu jika itu yang ditakdirkan. Bimbinglah Qis, Qis perlukan seseorang yang mampu memimpin Qis," masih terngiang-ngiang bicara lunak Qis.

Akhir-akhir ini, panas rasanya punggung dia di rumah. Pagi-pagi, selesai solat subuh, cepat-cepat dia bersiap untuk ke pejabat. Tidak seperti kelaziman, dia akan bersarapan berjemaah bersama isteri dan anak- anak. Aduhai, penangan Qis gadis kelahiran Bumi Kenyalang benar-benar menjerat hatinya.

" Abang , Aliyah setuju dengan permintaan Abang. Tapi, Aliyah nak berjumpa dengan wanita tu," Lembut dan tenang sayup-sayup suara isterinya. Dia tahu, Aliyah bukan seorang yang panas baran. Aliyah terlalu sempurna, baik tetapi ahh hatinya kini sedang mengilai wanita yang jauh lebih muda.
"Bawa dia ke sini, tinggalkan dia bersama Aliyah selama 1 hari saja, boleh?" pelik benar permintaan isterinya. Hendak dipengapakan apakah buah hatinya itu? Namun, tanpa sedar dia menganguk, tanda setuju. Sebab, dia yakin isterinya tidak akan melakukan perkara yang bukan-bukan. Dan hakikatnya dia seharusnya bersyukur. Terlalu bersyukur. Kalaulah isterinya itu wanita lain, alamatnya perang dunia meletus lah jawabnya. Melayanglah periuk belanga. Ehhh, itu zaman dulu-dulu. Zaman sekarang ni, isteri-isteri lebih bijak.

Teringat dia kisah seorang tentera yang disimbah dengan asid, gara-gara menyuarakan keinginan untuk menambah cawangan lagi satu. Kecacatan seumur hidup diterima sebagai hadiah sebuah perkahwinan yang tidak sempat dilangsungkan. Dan dia, hanya senyuman daripada Aliyah.

"Apa, nak suruh Qis jumpa dengan isteri Abang," terjegil bulat mata Qis yang berwarna hijau. "Kak Aliyah yang minta," masih lembut dia memujuk Qis.

"Biar betul, apa dia nak buat dengan Qis?" "Takutlah Qis, silap haribulan dia bunuh Qis!" terkejut Asraf Mukmin. "Percayalah Qis, Aliyah bukan macam tu orangnya. Abang dah lama hidup dengannya. Abang faham," Qistina mengalih pandangannya.

Mahu apakah bakal madunya berjumpa dengannya? Dia sering disogokkan dengan pelbagai cerita isteri pertama membuli isteri kedua. Heh, ini Qistina lah. Jangan haraplah jika nak membuli aku. Desis hati kecil Qistina. Hari ini genap seminggu Qistina bercuti seminggu. Seminggu jugalah dia merindu. Puas dicuba untuk menghubungi Qistina, namun tidak berjaya. Rakan serumah menyatakan mereka sendiri tidak mengetahui ke mana Qistina pergi. Genap seminggu juga peristiwa dia menghantar Qistina untuk ditemuduga oleh Aliyah. Sedangkan dia diminta oleh Aliyah bermunajat di Masjid Putra. Di masjid itu, hatinya benar-benar terusik. Sekian lamanya dia tidak menyibukkan dirinya dengan aktiviti keagamaan di masjid Putra.

Dulu, sebelum dia mengenali Qistina, saban malam dia akan bersama dengan Aliyah serta anak-anaknya, berjemaah dengan kariah masjid. Kemudian menghadiri majlis kuliah agama. Membaca Al-Quran secara bertaranum itu adalah kesukaannya. Namun, lenggok Qistina melalaikannya. Haruman Qistina memudarkan bacaan taranumnya. Hatinya benar-benar sunyi. Sunyi dengan tasbih, tasmid yang sering dilagukan. Seharian di Masjid Putra, dia cuba mencari dirinya, Asraf Mukmin yang dulu. Asraf Mukmin anak Imam Kampung Seputih. Asraf Mukmin yang asyik dengan berzanji. Menitis air matanya. Hatinya masih tertanya-tanya, apakah yang telah terjadi pada hari itu. Aliyah menunaikan tanggungjawabnya seperti biasa. Tiada kurangnya layanan Aliyah. Mulutnya seolah-olah terkunci untuk bertanya hal calon madu Aliyah.

Tit tit... sms menjengah masuk ke kantung inbox hensetnya. "Qis minta maaf. Qis bukan pilihan terbaik utk Abang jadikan isteri. Qis tidak sehebat kak Aliyah. Qis perlu jadikan diri Qis sehebatnya untuk bersama Abang."

Dibawah hensetnya, ada sekeping sampul besar.




Kepada: Asraf Mukmin, Suami yang tersayang...

Asraf Mukmin diburu kehairanan. Sampul berwarna cokelat yang hampir saiz dengan A4 itu dibuka perlahan.

---------------------------------------------------------------

Dengan Nama Allah Yang Maha Pemurah Lagi Maha Pengasihani.
Salam sejahtera buat suami yang tercinta, moga redhaNya sentiasa mengiringi jejak langkahmu. Abang yang dikasihi, genap seminggu sesi temuduga yang Aliyah jalankan pada Qistina. Terima kasih kerana Abang membawakan Aliyah seorang calon madu yang begitu cantik. Di sini Aliyah kemukakan penilaian Aliyah.

1. Dengan ukuran badan ala-ala model, dia memang mengalahkan Aliyah yang sudah tidak nampak bentuk badan. Baju- bajunya memang mengikut peredaran zaman. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tak sanggup Abang diheret ke neraka kerana menanggung dosa. Sedangkan dosa Abang sendiri pun, masih belum termampu untuk dijawab di akhirat sana , apatah lagi Abang nak menggalas dosa org lain. Aliyah sayangkan Abang...

2. Aliyah ada mengajak dia memasak. Memang pandai dia masak, apatah lagi western food. Tapi, Aliyah sayangkan Abang. Aliyah tahu selera Abang hanya pada lauk pauk kampung. Tapi tak tahulah pula Aliyah kalau-kalau selera Abang sudah berubah. Tapi, Aliyah masih ingat lagi, masa kita sekeluarga singgah di sebuah restoran western food, Abang muntahkan semua makanan western food tu. Lagi satu, anak-anak kita semuanya ikut selera ayah mereka. Kesian nanti, tak makan la pula anak-anak kita. Aliyah sayangkan Abang...

3. Aliyah ada mengajak dia solat berjemaah. Kelam kabut dibuatnya. Aliyah minta dia jadi Imam. Yelah, nanti dia akan menjadi ibu pada zuriat Abang yang lahir, jadinya Aliyah harapkan dia mampu untuk mengajar anak-anak Abang untuk menjadi imam dan imamah yang beriman. Tapi, kalau dia sendiri pun kelam kabut memakai telekung... Aliyah sayangkan Abang...


Abang yang disayangi, cukuplah rasanya penilaian Aliyah. Kalau diungkap satu persatu, Aliyah tak terdaya. Abg lebih memahaminya. Ini penilaian selama 1 hari, Abang mungkin dapat membuat penilaian yang jauh lebih baik memandangkan Abang mengenalinya lebih dari Aliyah mengenalinya.

Abang yang dicintai, di dalam sampul ini ada borang keizinan berpoligami. Telah siap Aliyah tandatangan. Juga sekeping tiket penerbangan MAS ke Sarawak. Jika munajat Abang di Masjid Putra mengiayakan tindakan Abang ini, ambillah borang ini, isi dan pergilah kepada Qistina. Oh ya, lupa nak cakap, Qistina telah berada di Sawarak. Menunggu Abang... Aliyah sayangkan Abg...

Tetapi jika Abg merasakan Qistina masih belum cukup hebat untuk dijadikan isteri Abang, pergilah cari wanita yang setanding dengan Aliyah... Aliyah sayangkan Abg.

Tetapi, jika Abg merasakan Aliyah adalah isteri yang hebat untuk Abangg.. tolonglah bukakan pintu bilik ni. Aliyah bawakan sarapan kegemaran Abang, roti canai.. air tangan Aliyah.




Salam sayang, Aliyah Najihah binti Mohd Hazery.

Wednesday, August 25, 2010

40 Ulama Ketuai Misi Munajat Royalti Kelantan

Sekumpula 40 ulama akan mengetuai Munajat Royalti Minyak dan Gas Negeri Kelantan bagi memohon supaya Hak Keatas Royalti Minyak dan Gas Negeri itu dikembalikan oleh Kerajaan Pusat.

Program secara berkala yang dijadualkan bermula Disember ini adalah anjuran Sekretariat Khas Royalti Rakyat di bawah Gerakan Bertindak Kebalikan Royalti Rakyat (GEGAR).

Ketua NGO itu, Md.Zulaimi Kazin, dalam sidang medianya tengahari tadi memberitahu, sebahagian besar anggota mereka diwakili oleh para ulamak dari beberapa buah sekolah pondok disekita Negeri Kelantan, terutamanya dari Madrasah Diniah Bakriah, Pondok Pasir Tumbuh.

Menurutnya, sekretariat yang dipengerusikan oleh Tuan Guru Hussin Ibrahim, dari Pondok Lubuk Tapah Pasir Mas itu, diadakan dengan tujuan menyampaikan mesej rakyat menuntut royalti itu melalui golongan ulamak.

40 ulama yang akan menyertai misi ini dipilih berdasarkan jasa dan khidmat yang dicurahkan bagi pembangunan ilmu agama di negeri Kelantan.

“Pemilihan ulama tersebut di buat dari kalangan ulama dipondok-pondok, ulama kawasan dari Dewan Ulama PAS dan ulama di kalangan ahli akademik,” ujarnya lagi.

Tambahnya, para ulama berkenaan juga akan mendoakan kelancaran proses tuntutan di mahkamah sekiranya tuntutan itu dibawa ke peringkat tersebut.

“Paling penting misi ini akan menyampaikan mesej yang jelas kepada Kerajaan Pusat dan Petronas bahawa rakyat Kelantan tidak akan berdiam diri tetapi dengan tegas, bangkit menuntut hak mereka.

40 ulama tersebut juga katanya akan mendoakan dan bermunajat secara individu selama 40 hari berturut-turut di Kelantan dan kemuncak munajat akan dilakukan selama 40 waktu di Baitullah Mekah.

Sehubungan itu, semua warga negara yang prihatin terutama rakyat Kelantan diseru agar menyalurkan sumbangan untuk menjayakan program tersebut.

Kutipan sumbangan akan bermula 1 Syawal bersamaan 10 September sehingga 30 November ini.

Tuesday, August 24, 2010

Hargai mak ayah kita.. jadikan pedoman...

Inilah cerita benar. Cerita benar seorang penulis yang Berjaya. Beginilah kisahnya...
Entahlah apa yang selalu bermain pada fikiran ayah. Apabila saya ingin pulang kembali ke kota, dia kerap minta duit. Seakan-akan mendesak...." Ada duit? Minta ayah sedikit.."

Saya masih ingat waktu itu kehidupan saya terlalu sukar. Untuk mendapat seratus ringgit di dalam poket pada satu-satu masa pun payah. Kalau balik kampung selalunya duit yang ada hanya cukup-cukup tambang. Mujurlah, isteri dan anak-anak saya sudah faham. Alhamdulilah mereka 'sporting' dan tidak banyak meragam.

"Emak, ayah asyik minta duit. Bukan tak mahu bagi, tapi saya memang tak ada duit," Bisik saya kepada emak. Emak seperti biasa, berwajah selamba, sukar ditembak reaksinya.

" Bagilah beberapa yang ada," cadang emak pendek. "Takkan 5 ringgit?"

Emak mengganguk. Saya rasa bersalah untuk memberi ayah wang sebanyak itu. Apalah yang boleh dibeli dengan wang 5 ringgit....Tapi kerana tidak mahu menghampakan harapa ayah dan ikutkan cadangan emak, saya gagahi juga memberinya.

Ayah selalunya tersenyum menerima pemberian saya. Tetapi yang mengejutkan ialah apabila kami sekeluarga berada dalam perut bas dalam perjalanan pulang ke kota. Di kocek anak saya sudah terselit wang sepuluh ringgit. Siapa yang bagi kalau bukan ayah? 10 tolak 5, saya masih 'untung' 5 ringgit. Geli hati
mengenangkannya.

Begitulah selalunya tahun demi tahun. Apabila kami pulang ziarah ke kampung, saya akan memberi pemintaan ayah. Kengkadang terlupa, tetapi ayah akan selalu mengigatkan. Akhirnya, saya memang sediakan peruntukan khas untuk diberikan kepada ayah setiap kali pulang kampung. Kedudukan ekonomi saya yang masih goyah kekadang hanya mengizinkan wang dua ringgit untuk diberikan kepada ayah. Ironinya, ayah tetap dengan pemintaannya dan tetap tersenyum apabila menerima. Tidak kira berapa jumlahnya. Emak terus-terusan selamba. Saya masih sukar menandingi ketajaman rasa seorang isteri (emak) dalam memahami hati suaminya (ayah).

Begitupun setiap kali dalam perjalanan pulang, kocek anak saya akan jadi sasaran. Kekadang itulah duit pelengkap membeli tiket pulang. Ayah akan setiap memasukkan duit yang melebihi jumlah saya berikan kepadanya. Saya tidak mengambil masa lama untuk memahami apa maksud tersirat disebalik perlakuan ayah itu. Dia meminta wang pada saya bukan kerana 'tidak ada', tetapi dia ada sesuatu yang lebih besar ingin dicapainya atau disampaikannya.

Namun, secara bertahap-tahap buku tulisan saya semakin mendapat sambutan. Bukan itu sahaja, perniagaan yang saya mulakan secara kecil-kecilan semakin membesar. Kalau dulu kami pulang ke kampung dengan bas, tetapi selepas beberapa tahun saya pulang dengan kereta milik sendiri. Saya masih ingat komen ayah ketika saya pulang dengan kereta kecil Kancil milik kami sendiri.

"Nanti, besarlah kereta kamu ini...." ujur ayah senyum.

Apapun saya tetap memenuhi permintaan ayah setiap kali pulang ke kampung. Wang saya dahulukan kepada nya. Dan ayah juga konsisten dengan sikapnya, ada sahaja wang yang diselitkan dalam kocek anak saya.

" Eh tak payahlah ayah..." sekarang saya mula berani bersuara. Ekonomi keluarga sudah agak stabil. Malu rasanya mengambil duit ayah walaupun perantaraan pemberian datuk kepada cucunya. Saya tahu dan sedar, hakikatnya ayah hendak memberi kepada saya sejak dulu, tetapi sengaja atau tidak ingin saya merasa segan, duit diberi melalui anak.

"Kenapa, dah kaya?" usik ayah. Hendak tak hendak, duit dikocek anak tetap diselitkannya. Cuma sekarang bezanya, duit itu tidak lagi 'dikebas' oleh saya. Dan dalam hati, saya mula berasa senang kerana jumlah yang saya berikan kepada ayah, kini sudah melebihi apa yang mampu diselitkan ke kocek anak saya. Tidak semacam dulu lagi, duit pemberian ayah kepada anak saya sentiasa melebihi duit pemberian saya kepadanya.

Masin sungguh mulut ayah. Tidak sampai tiga tahun, kami bertukar kereta!. Di samping menulis, saya menjadi penerbit. Perniagaan semakin rancak. Oleh sebab bilangan anak bertambah dan keperluan kerja yang meningkat saya sudah membeli MPV utuk kegunaan harian. Anak-anak mula menjejak menara gading.
Kehidupan semakin laju dan aktiviti semakin rancak. Namun sibuk sekalipun saya tetap pulang menziarahi ayah dan ibu. Anehnya ayah tetap memberi kepada anak saya walaupun kini saya telah dikenali sebagai korporat yang berjaya. Rupa-rupanya, ayah memberi bukan kerana kekurangan atau kelebihan kami,
tetapi dia MEMBERI KERANA Allah. Mencontohi Allah al-Wahhab itu!

Anda ingin tah apa pesan penulis itu kepada saya? Ya, mari kongsi bersama :

" Kini aku benar-benar faham bahawa ibu ayah yang tua bukan beban dalam kehidupan di dunia, lebih-lebih lagi dalam kehidupan di akhirat. Mereka bukan 'liabiliti' tetapi sebenarnya aset untuk kita (walaupun istilah itu sebenarnya kurang atau tidak tepat kerana ibubapa bukan benda). Rugi betul siapa yang mempunyai ibu bapa yang telah tua tetapi mengabaikannya.

"memberi kepada ibu bapa hakikatnya memberi kepada diri sendiri. Walaupun itu bukan niat kita ketika memberi, tetapi percayalah rezeki berganda akan pulang kepada kita semula. DOA MEREKA MUSTAJAB. Harapan mereka kenyataan. Kasih mereka bekalan. Benarlah sepertimana sabda Rasulullah s.a.w, keredhaan Allah terletak kepada keredhaan ibu bapa."

Baiklah, inilah sebenarnya rahsia 'perniagaan' yang jarang-jarang diperkatakan oleh tokoh korporat. Juga tidak pernah ditulis dalam mana-mana buku perniagaan. Masih punya ibubapa? MEMBERILAH KEPADA MEREKA. Tidak ada? Tidak mengapa, memberilah kepada anak-anak anda. Tidak ada juga? Memberilah kepada sesiapa sahaja. Kita sentiasa berfikir untuk memberi. Memberi kepada orang lain bererti memberi kepada diri kita sendiri walaupun itu bukan maksud kita ketika mula memberi!



Sahabat sekelian,

Cerita dibawah menjadi IBRAH bagi kita semua.

Apa yang paling utama dalam memberikan khidmat terakhir kpd ibu ayah ialah MEMANDIKAN JENAZAHNYA, MENGKAPANKAN TUBUH MULIANYA, MENYEMBAHYANGKAN JENAZAH NYA DAN MENGKEBUMIKAN JENAZAHNYA. Lakukan dengan tangan2 kita sebagai anak2. Lakukan sahabat, lakukannya jika ditakdirkan ibu ayah kita meninggal dunia.

Saya menangis apabila ada sahabat saya menceritakan bagaimana ibu kepada Tuan Guru Dr Harun Din meninggal dunia. Bacalah sahabat pengalaman Dr Harun Din dan keluarganya.

Jiran kpd ibu Dr Harun Din (DrHD) menziarah ibunya pada waktu petang selepas asar. beliau memberi salam tetapi tak menyahut salamnya. Beberapa kali salam diberikan tapi tak ada jawapan. Maka jirannya itu mencari ruang mencari ibu DrHD, akhirnya terlihat ibunya sedang sujud dalam solat. lalu jiran ini balik ke rumah dahulu. beberapa minit kemudian, datang semula berjumpa ibu DRHD, dilihatnya masih sujud. firasat jirannya, ini ada yang tak kena. Lalu masuk ke rumah untuk melihat dr dekat ibu DrHD. Rupa2nya, ibu DrHD telah kembali ke rahmatullah dalam masa ibunya sujud menghadap Allah. Ya Allah mulianya kematian ibu DrHD.

Perkara yang paling comel yang dilakukan keluarga DrHD ialah, menyempurnakan dengan tangan2 anak2 jenazah ibunya. Mandikan ibu, kapan ibu, sembahyangkan ibu dan kebumikan tanpa diusik orang lain ke atas tubuh ibunya. Ada jiran2 yang ingin melakukannya tetapi ditolak oelh Dr Harun Din, hasan Din dan Ishak Din dengan hujjah, "BERILAH SAYA SEKELUARGA PELUANG MEMBUAT KHIDMAT yang TERAKHIR untuk IBU". Ketika hujah itu diberikan, seluruh masyarakat yang hadir melinangkan air mata kerana tawaaduk dan alimnya anak2 ibu itu. Paling menyayatkan hati masyarakat adalah apabila ketiga2 adik beradik ini iaitu Harun Din, Hasan Din dan Ishak Din turun sendiri ke lubang lahad mengebumikan jenazah ibunya. Ada beberapa orang yang hadir, memohon dan berkata,"Wahai Tuan Guru, biarlah kami buat semuanya ini menurunkan jenazah ibu Tuan Guru." Permintaan ini ditolak oleh DrHD dengan hujah yang sama "Berilah kami adik beradik peluang mengebumikan jenazah ibu ini kali terakhir". Seluruh yang hadir di kuburan ketika itu, mencurahkan airmata tawadduk di atas akhlak anak2 ibu yang diasuh hingga se"alim" sedemikian. Peristiwa ini disempurnakan hingga selesai.
HEBAT IBU ini membina akhlak dan keilmuan anak-anak mereka, maka tidak hairanlah kita semua bahawa DrHD , hasan Din dan Ishak Din memang disegani oelh kawan dan lawan di Bumi Malaysia ini kerana "AKHLAK"nya yang mulia dan ALIM nya mereka.
Terus terang sahabat, ketika saya mendengar cerita ini, air mata saya melinang apabila tergambar ketika saya dan 11 orang adik beradik menguruskan jenazah ibu bersama Feb 2009 yang lalu. Ya Allah, rahmatilah ibu kami semua. Rahmatilah mereka dan Ampunkanlah kami.
Wallahu A'lam.
Baca, hayati, selami dan insafi...... Amalkan, doa ibu bapa amat mustajab... Bahagia dunia akhirat...
Kalau baca seumpama menjirus air di daun keladi, lebih baik baca tajuk aje...

Iklan

Iklan